SEREMBAN: Pembangkang yang memainkan propaganda untuk melaga-lagakan pemimpin Barisan Nasional (BN) terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah tindakan terdesak.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan atau lebih popular dengan panggilan Tok Mat berkata, taktik itu diketahui akan diguna dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Itu jelas menunjukkan bahawa mereka terdesak sehingga terpaksa menggunakan strategi tersebut. Dahulu semasa kempen 2018, mereka gunakan isu 1MDB, penyamun dan sebagainya, kini sudah tiada lagi
“Dahulu tabur janji, tetapi tidak boleh buat, sekarang sudah tahu dan rakyat Malaysia rasa tertipu oleh Pakatan Harapan (PH) yang berjanji macam-macam tetapi tidak tunaikan.
“Dalam pilihan raya kali ini, mereka tidak boleh janji apa-apa, jadi apa modal dan peluru mahu digunakan? Mereka gunakan character assassination (pembunuhan watak), melaga-lagakan pemimpin, itu cara mereka tetapi tidak menjadi kudis kepada saya ataupun kepada kami di BN,” katanya.
Mohamad yang juga calon BN di Parlimen Rembau berkata demikian pada Majlis Bersama Persatuan Penduduk Kuala Sawah di Dewan Terbuka Persatuan Penduduk Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.
DIPUTUSKAN
Menurut beliau, Ismail Sabri masih lagi poster boy calon Perdana Menteri oleh BN seperti yang diputuskan sebelum ini.
“Itu janji kami, parti telah buat, setakat hari ini tiada apa-apa perubahan dan kami masih guna pakai itu. Jika parti buat keputusan lain, itu cerita lain kerana dalam pilihan raya umum, macam-macam dinamik boleh berlaku,” katanya.
Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa kejutan besar akan berlaku di Negeri Sembilan dan kerusi Rembau bukan kerusi selamat buat beliau, Mohamad berkata, beliau akan bekerja lebih kuat supaya pengundi di Rembau akan memilih BN.
“Saya akan kerja kuat lagi untuk meyakinkan pengundi-pengundi di Rembau, jika itu yang dikatakan oleh Rafizi, sebab dia lebih tahu kawasan saya.
“Dia nak cakap apa pun boleh la, saya tidak kisah, saya jaga kawasan saya, saya tidak kacau siapa-siapa, kalau dia kata saya dalam keadaan yang susah, saya kena kerja kuat lagi lah, saya ambil itu sebagai cabaran, insya-Allah,” katanya.- UTUSAN