MARAN: Tiga maut yang membabitkan dua wanita dan seorang lelaki dalam kemalangan di Kilometer 168.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di sini hari ini manakala seorang lagi mangsa yang merupakan kanak-kanak dilaporkan selamat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pusat gerakan operasi (PGO) menerima laporan kemalangan membabitkan kereta jenis Perodua Kancil pada pukul 8.10 pagi.
Menurutnya, dua jentera bersama lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran bergegas ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat mangsa.
“Terdapat empat mangsa dalam kereta itu dan tiga daripadanya meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang maut, dua wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa.
“Bagaimanapun, seorang mangsa membabitkan kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam pada itu, Zulfadli berkata, pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu. –UTUSAN