IPOH: Parlimen Tambun, Larut dan Bagan Datuk antara tiga lokasi yang dikategorikan panas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, lokasi itu dikenal pasti berdasarkan kepada calon dan parti yang bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.
“Mengikut laporan yang diterima, hanya tiga kawasan ‘panas’ di Perak iaitu di Tambun, Larut dan Bagan Datuk.
“Kita akan mengenal pasti dan membuat penilaian, jika terdapat kecenderungan berlakunya situasi tidak aman, kita akan menambah kekuatan anggota di lokasi tersebut.
“Itu bergantung kepada Ketua Polis Daerah, mereka akan meninjau, melihat dan mengumpul maklumat bagi tujuan membuat penugasan sepanjang PRU15 khususnya di pusat penamaan calon,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, seramai 7,963 polis kontinjen Perak membabitkan 791 pegawai kanan dan 7,172 anggota diatur gerak sepanjang pilihan raya umum itu berlangsung.
Katanya, polis turut dibantu Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) membabitkan penugasan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai serta kawalan lalu lintas pada hari mengundi.
“Kita minta semua pihak sama ada calon mahupun penyokong agar mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan sepanjang tempoh kempen berlangsung.
“Jangan timbulkan provokasi yang berlebihan terhadap sebarang isu-isu sensitif seperti isu agama, perkauman dan institusi diraja,” katanya.
Pada PRU15, Parlimen Tambun dijangka panas ekoran pertembungan dua nama besar di kawasan berkenaan melibatkan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut bertanding di kerusi itu, Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md. Hanafiah.
Bagi Parlimen Larut, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menamakan Setiausaha Agungnya yang juga penyandang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di kerusi berkenaan manakala Presiden UMNNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di kerusi Bagan Datuk. –UTUSAN