KUALA TERENGGANU: Tiga beranak sanggup berkorban masa dan tenaga ‘menjelajah’ tiga kawasan parlimen bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.
Kakitangan kerajaan, Alizah Muda, 47, berkata, dia bersama empat anaknya pulang ke rumah mertua di Kampung Kuala Abang, Dungun untuk membolehkan suaminya, Mohamad Faizal Ramli, 51, mengundi pagi tadi.
“Seawal pukul 8 pagi, suami sudah mengundi dan kemudian kami terus bergerak ke Kampung Batu Enam, Kuala Nerus untuk saya pula mengundi bagi kawasan Parlimen Kuala Nerus.
“Ketika ini, kami dalam perjalanan pulang semula ke Kelantan kerana anak akan mengundi di Parlimen Machang.
“Alhamdulillah, tak terasa penat kerana semangat patriotik mengatasi segalanya, tambahan pula memang saya dan suami belum bercadang menukar tempat mengundi buat masa sekarang kerana banyak keistimewaan yang diperoleh sebagai anak jati Terengganu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut wanita itu, jarak perjalanan dari Dungun ke Machang empat jam tidak memenatkan kerana dalam tempoh itu mereka boleh menyaksikan pelbagai gelagat rakyat Malaysia yang memilih kerajaan baharu.- UTUSAN