MARAN: Tiga beradik maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas lalu merempuh pagar besi di kilometer 165 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini, kira-kira pukul 7.45 pagi hari ini.
Mangsa yang maut adalah pemandu Perodua Kancil; Siti Fatimah Yusry, 20, dan penumpang iaitu Ahmad Basyir Yusry, 27, dan Saiedah Yusry, 15.
Dalam pada itu, mangsa terselamat merupakan adik perempuan mereka berusia 11 tahun.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd. Rahman berkata, siasatan awal mendapati, adik-beradik itu dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Jerantut.
Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Siti Fatimah dipercayai hilang kawalan lalu berpusing ke kiri jalan sebelum melulu dan merempuh besi pembahagi jala.
“Tiga orang termasuk pemandu kereta maut di tempat kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Jengka manakala mangsa yang mengalami kecederaan di kepala dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di Temerloh.
“Siasatan awal mendapati keluarga ini dalam perjalanan dari Johor Bahru untuk mengambil adiknya yang merupakan pelajar tahfiz di sebuah sekolah agama di Jerantut dan berpatah balik semula ke Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, lapan anggota bomba dari Balai Bomba Maran dikerahkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
Katanya, pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu. –UTUSAN