GUA MUSANG: Seorang pengusaha bakeri di Taman Wira Perdana di sini tidak menang tangan menyiapkan tempahan lebih 1,000 kuih tart keju bercorak logo parti politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Marlia Ismail, 36, berkata, tempahan biskut air tangannya meningkat mendadak sejak seminggu lalu sebaik sahaja tarikh PRU15 diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Setakat ini tart keju parti politik yang popular ialah Barisan Nasional (BN), Pas, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kebanyakan pelanggan yang membuat tempahan ini datang dari penduduk tempatan dan ahli parti politik di daerah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini yang turut memberitahu perlu menyiapkan lebih 30 kotak tempahan tart keju ketika ini.
Marlia memberitahu, dia akan berusaha sedaya-upaya menyiapkan tempahan yang diterima bagi memastikan pelanggan tidak kecewa.
Katanya, pada masa yang sama, dia teruja dapat menghangatkan dan memeriahkan suasana PRU yang berlangsung setiap lima tahun sekali ini.
“Saya perlu berdepan masa yang panjang untuk menyiapkan hiasan corak pada tart keju itu. Kalau ikutkan memang agak sukar kerana saya perlu membuat perincian corak bendera parti politik dengan teliti.
“Saya mengambil masa kira-kira satu jam untuk menyiapkan 25 biji tart keju berkenaan. Harga bagi 25 biji dijual pada RM35 dan RM75 untuk tart keju bersaiz besar bergantung kepada jenis corak,” ujarnya.
Tambahnya, dia mengiklankan tart keju di platform media sosial dan sebarang tempahan boleh dibuat di Facebook miliknya, Marlia Ismail. – UTUSAN