IPOH: Calon kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Asyraf Wajdi Dasuki berjanji memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat di kawasan tersebut.
Meskipun ‘calon luar’ di Parlimen berkenaan, beliau yakin dapat mendekati akar umbi sekali gus diterima pengundi.
“Insya-Allah, tidak kenal maka tidak cinta, saya berdoa kepada Allah yang menjaga hati-hati manusia.
“Saya adalah manusia biasa yang cuba menawarkan diri atas amanah yang diberikan pucuk pimpinan.
“Track record saya, kalau diberikan amanah akan buat sehabis baik dan sudah tentu saya tidak meninggalkan rakyat di Gerik walau apapun terjadi kerana yang paling penting adalah khidmat bakti yang ditawarkan kepada pengundi,” kata beliau selepas pengumuman calon PRU15 Barisan Nasional (BN) Perak oleh Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di Hotel Casuarina@Meru di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas bantahan akar umbi UMNO Gerik ekoran kehadirannya selaku calon luar, beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, perkara tersebut disifatkan sebagai lumrah dan yakin ia dapat diatasi segera.
“Bantahan itu adalah perkara lumrah. Saya sebagai orang baharu sudah tentu perlu mengenali hati budi dan bertemu mereka.
“Saya yakin setelah kenal, kita akan bersama-sama dalam memastikan Parlimen Gerik dapat menyumbang satu kerusi bagi membolehkan BN menubuhkan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Pada PRU15, Asyraf Wajdi akan berdepan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Tarmizi Mohd. Jam dan calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob.
Parlimen Gerik pada pilihan raya lalu dimenangi calon BN, Datuk Hasbullah Osman dengan majoriti 5,528 menewaskan calon Pas dan PH.
Kerusi Parlimen berkenaan dikosongkan selepas Hasbullah meninggal dunia pada 16 November 2020 di Raub, Pahang dipercayai akibat serangan jantung. – UTUSAN