SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) Kuala Pilah menyifatkan tiada isu besar di sebalik ketiadaan nama calon untuk kerusi Parlimen Kuala Pilah pada majlis pengumuman calon BN bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semalam.
Setiausaha BN Kuala Pilah, Saiful Yazan Sulaiman berkata, pihaknya yakin isu itu dapat diselesaikan dengan baik sebelum hari penamaan calon, Sabtu ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol berkata, kedudukan BN Kuala Pilah berada pada tahap kukuh di bawah kepemimpinan Datuk Ismail Lasim yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah.
“Umum mengetahui bahawa tidak ada isu berbangkit mengenai kepemimpinan BN Kuala Pilah termasuk UMNO yang membuat persediaan sejak 2018 bagi menghadapi PRU15.
“Semua nama yang dicalonkan untuk bertanding dalam pilihan raya umum kali ini reda untuk menerima apa jua keputusan pucuk pimpinan mengenai calon yang bakal dipilih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada majlis pengumuman nama calon BN bagi PRU-15 di ibu negara kelmarin, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menyebut nama calon bagi kerusi Parlimen Kuala Pilah dan Jempol di negeri ini serta empat kerusi di lain-lain negeri sekali gus menimbulkan kejutan di Kuala Pilah memandangkan tidak ada isu berkaitan calon di kerusi berkenaan.
Malah, BN Kuala Pilah mengadakan Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 kira-kira pukul 3 petang kelmarin dan tiada tanda-tanda masalah bakal timbul daripada calon yang bakal dipilih.
Menjelaskan mengenainya, Saiful Yazan berkata, isu itu berpunca daripada masalah ‘teknikal’ dan nama calon berkenaan diumumkan sedikit masa lagi.
“Insya-Allah calon BN Parlimen Kuala Pilah adalah seperti yang telah digambarkan sebelum ini. Sama-sama kita berdoa supaya semuanya akan berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN