KLANG: Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dinamakan Tawaran Harapan yang dilancarkan hari ini mengambil kira keperluan semua kaum, penduduk Sabah dan Sarawak.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua isu yang termaktub dalam tawaran tersebut dibincangkan secara terperinci oleh jawatan kuasa yang merangka tawaran itu.
“Kita beriltizam untuk membantu semua rakyat Malaysia dengan tidak ada mana-mana kaum serta kumpulan ekonomi yang tertinggal.
“Apa yang pasti, kita mahu membasmi kemiskinan tegar yang masih ada di negara ini,” katanya ketika berucap dalam majlis peluncuran Tawaran Harapan di Hotel Wyndham Acmar, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada kesemua tawaran dapat dilaksanakan terus sekiranya PH memenangi Putrajaya, Anwar menjelaskan bahawa pihaknya perlu menyemak terlebih dahulu kantung kewangan negara sebelum melaksanakannya.
Beliau berkata, hal ini penting kerana pihaknya tidak mahu implikasi kewangan negara terjejas sekiranya kesemua tawaran dilaksanakan.
“Apa pun, semua tawaran ini akan memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya yang menjadi calon Perdana Menteri bagi PH.
Antara Tawaran Harapan yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia adalah memperluaskan pengecualian duti setem 100 peratus untuk rakyat Malaysia yang kali pertama membeli rumah dengan syarat harga rumah tersebut di bawah RM500,000.
Selain itu, perluasan program perlindungan skim MySalam kepada golongan yang berada dalam kumpulan M40, yang mana ketika ini, MySalam hanya ditawarkan kepada golongan B40 juga termaktub dalam tawaran itu.
Tercatat juga dalam tawaran itu juga yang mana kerajaan PH akan berbincang dengan beberapa syarikat konsesi tol supaya kadar tol milik syarikat tersebut dapat dikurangkan secara berperingkat. –UTUSAN