KANGAR: Semua calon yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang tanpa mengira fahaman politik berkempen secara cukup harmoni.
Penyandang kerusi DUN tersebut, Datuk Ismail Kassim berkata, walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun parti itu tidak menghalang proses demokrasi dan semua calon berhak berkempen bersama-sama bagi membolehkan rakyat membuat pilihan masing-masing.
Katanya, semua calon bertanding di DUN Tambun Tulang juga telah berjumpa antara satu sama lain dan berjanji untuk menunjukkan kebangkitan era baharu tanpa melakukan sebarang serangan peribadi bagi meraih undi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Kita (semua calon) mahu masing-masing boleh masuk ke setiap kawasan untuk berkempen dan ingin tunjukkan kepada generasi muda kebangkitan satu legasi baharu untuk dijadikan contoh.
“Kalau kita tunjukkan plot fitnah dalam siri kempen, maka generasi muda akan nampak bakal pemimpin mereka ini tidak matang dalam berpolitik,” katanya di sini hari ini.
DUN Tambun Tulang bakal menyaksikan Ismail dicabar tiga lagi calon lain iaitu Wan Zikri Afthar Ishak (PN), Muhammad Syahmi Suhaimi (PH) dan Maton Din (GTA).
Pada PRU14, Ismail berjaya memenangi kerusi itu dengan meraih sebanyak 4,005 undi mengalahkan calon PKR, Maton Din (2,825 undi) dan Pas, Abu Bakar Ali (1,910).
Dalam pada itu, Ismail berkata, beliau turut optimis dapat mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang termasuk menarik sokongan pengundi muda.
“Saya ada hubungan yang baik dengan anak muda dan kita yakin dapat menarik sokongan mereka untuk mengekalkan pentadbiran BN di DUN Tambun Tulang pada PRU15,” katanya.
Tambah Ismail, BN juga dijangka dapat merampas dua lagi kerusi DUN bawah Parlimen Arau iaitu Sanglang dan Guar Sanji yang tewas dalam PRU14 lalu berdasarkan kedudukan semasa parti yang kembali diyakini rakyat.
“Pengundi sekarang mahu melihat calon yang senang dihubungi dan memberi khidmat buat mereka. Disebabkan itulah saya yakin BN akan menang semua kerusi DUN di bawah Parlimen Arau,” katanya. – UTUSAN