REMBAU: Kejadian tanah runtuh dan tiang elektrik tumbang di Jalan Durian Daun-Pilin, di sini mengakibatkan laluan berkenaan bagi kedua-dua arah terpaksa ditutup sementara.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, pihak terlibat iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berada di lokasi kejadian bagi kerja-kerja pemantauan serta tindakan selanjutnya.
“Oleh itu, jalan ini ditutup buat sementara waktu buat semua jenis kenderaan bagi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya hari ini.
Sementara itu, seorang penduduk, Muhammad Zaid Faisal Mohammad Yussof, 29, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam dan bertambah buruk pada waktu lewat petang apabila bahagian tebing tanah yang runtuh semakin melebar.
Menurutnya, kira-kira tiang elektrik turut tumbang dalam kejadian tersebut.
“Jalan ini merupakan laluan dalam yang sering digunakan pengguna untuk ke Lubok China, Melaka. Oleh itu, pengguna jalan raya dinasihatkan mengikut laluan lain di Kota dan Pedas,” katanya.-UTUSAN.