Sindiket seludup warga asing: pegawai imigresen dalang

Sindiket seludup warga asing: pegawai imigresen dalang

SEORANG pegawai JIM bersama 6 warga asing ditahan menerusi serbuan sindiket penyeludupan warga asing di KLIA2, Sepang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan selepas didapati cuba menyeludup masuk warga asing ke negara ini menerusi serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), semalam.

Dalam serbuan pukul 7.45 malam, pegawai berusia 31 tahun itu ditahan bersama enam lelaki warganegara India berusia 20 hingga 42 tahun hasil operasi Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai-pegawai Imigresen KLIA2. 

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penahanan itu sekali gus menumpaskan satu sindiket penyeludupan warga asing yang dikesan beroperasi sejak 1 April lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, pegawai Imigresen yang bersubahat menurunkan cop ke atas pasport tanpa merekodkan perjalanan warga asing tersebut ke dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Sindiket ini dipercayai mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 kepada setiap warganegara asing.

“Modus operandi sindiket adalah menawarkan e-visa palsu kepada warga asing berkenaan untuk memasuki Malaysia sebagai pelancong. Mereka cuba memasuki negara ini untuk bekerja tanpa pas yang sah serta mengelakkan bayaran levi,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, sindiket juga menyediakan kemudahan tempat tinggal, program lawatan dan sejumlah wang bagi menunjukkan seolah-seolah mereka adalah pelancong tulen. 

Khairul berkata, semua warga asing berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, kerana cuba memasuki Malaysia secara tidak sah. 

“Pegawai Imigresen berkenaan pula disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, setelah perintah reman diperoleh. 

 “JIM terus meningkatkan usaha-usaha perisikan dan operasi bagi membenteras aktiviti penyeludupan dan pemerdagangan manusia. 

“Jabatan ini tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak walaupun ia melibatkan pegawai-pegawai imigresen sendiri dan mereka yang didapati bersalah akan menerima hukuman sewajarnya dibawah undang-undang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya