SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Seremban, Loke Siew Fook hari ini menyerahkan sebanyak 20 cek yang diterimanya dari Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan bagi pelaksanaan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Parlimen itu.
Jelas penyandang kerusi berkenaan, ia bagi mengelakkan beliau menggunakan peruntukan berjumlah keseluruhan RM539,468 itu sebagai bahan kempen sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini.
“Saya ingin memaklumkan terdapat 20 cek PMR di mana cek ini telah dimohon pada penghujung September dan awal Oktober lalu dan telah diluluskan dan diterima sehari sebelum hari penamaan calon.
“Saya sendiri tidak akan menyerahkan cek-cek ini kepada penerima-penerima cek ini iaitu sekolah-sekolah, surau ataupun MPKK, sebab saya sebagai calon, saya tidak mahu dilihat menyalahgunakan peruntukan ini untuk tujuan kempen saya.
“Saya serahkan cek ini kepada ADUN kawasan masing-masing untuk diserahkan bagi pihak saya. Kami menghormati proses kempen pilihan raya, kami tidak mahu menyalahgunakan apa-apa juga peruntukan daripada kerajaan sebagai bahan kempen,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdapat enam buah Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Seremban iaitu Nilai, Lobak, Temiang, Sikamat, Ampangan dan Lenggeng.
Sementara itu, Siew Fook berkata, daripada keenam-enam kawasan DUN tersebut, beliau mengakui menerima lebih cabaran bagi menambat hati pengundi di kawasan Lenggeng.
“Pada PRU14, PH mendapat kurang daripada 1,000 undian bagi kerusi DUN Lenggeng, DUN yang lain kami menang dengan majoriti besar. Sudah tentu saya akan memberi fokus kepada Lenggeng kerana kami mahu menang undi di kesemua kawasan.
“Tidak guna hanya menang di kawasan kubu kuat kami iaitu, Temiang, Lobak dan Nilai kerana kami mahu pastikan di Parlimen Seremban kami boleh menang di kesemua kawasan itu kerana ia akan memberi gambaran kepada pilihan raya negeri yang akan diadakan,” katanya.-UTUSAN.