KUALA TERENGGANU: Sebanyak 56 ekor penyu ditemukan mati di negeri ini dari Januari hingga Oktober tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, jumlah kematian penyu itu meningkat berbanding 51 ekor dalam tempoh yang sama pada tahun 2021.
Menurut beliau, bangkai penyu yang mati biasanya ditemukan dalam beberapa keadaan antaranya, hanyut terperangkat dalam pukat nelayan, terdapat tali yang membelit disekeliling bangkai penyu, terdampar di pantai dan terdapat batu yang diikat pada bangkai penyu bertujuan menenggelamkannya di dasar lautan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada bukti khusus yang boleh mengaitkan kematian penyu itu disebabkan pukat pari atau pukat malas yang digunakan nelayan namun menegaskan kematian adalah disebabkan perbuatan khianat manusia.
OPERASI
“Oleh itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan sentiasa melaksanakan beberapa operasi penguatkuasaan pukat pari dan sepanjang tahun ini, sebanyak 37 pukat pari dirampas di Pengkalan Nelayan Daerah Kemaman dan Dungun.
“Selain itu, kita juga buat operasi penguatkuasaan terhadap nelayan yang menceroboh kawasan santuari penyu dari Kuala Merchang Marang sehingga Tanjung Jara Dungun dan hasilnya 18 nelayan membabitkan dua nelayan tempatan serta 16 nelayan asing dari negeri jiran ditangkap bawah Akta Perikanan 1985.
“Kita juga berjaya menyelamatkan enam ekor penyu yang terdampar di pantai dan tak mampu berenang kembali ke laut sepanjang tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Roslee Daud (BN-Bukit Besi) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Menjawab soalan tambahan Roslee yang ingin tahu sejauh manakah seriusnya pukat pari dan kenapa penggunaannya masih berleluasa, Dr. Azman berkata, ia masih berlaku kerana nelayan mengambil jalan mudah untuk menangkap ikan tanpa memikirkan kelestarian sumber jangka masa panjang hasil laut untuk generasi akan datang.
“Sebab itu kita adakan operasi penguatkuasaan dengan lebih kerap dan ada antara operasi itu turut saya sertai.
“Langkah lain yang diambil kerajaan negeri ialah melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Enakmen Pemuliharaan Penyu Terengganu 1951 pindaan 2021 dengan hukuman yang lebih berat terhadap kesalahan yang melibatkan kematian penyu,” katanya.- UTUSAN