Shahril akui Pak Wan, Adly bukan 'calang-calang' -

Shahril akui Pak Wan, Adly bukan ‘calang-calang’

SHAHRIL SUFIAN Hamdan bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Alor Gajah di Selandar, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Alor Gajah, Shahril Sufian Hamdan mengakui bahawa dua lawannya iaitu penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari merupakan calon heavyweight yang tidak boleh dipandang sebelah mata pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, kata Ketua Penerangan UMNO itu, beliau bersedia memberikan tentangan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dan calon Pakatan Harapan (PH) berkenaan.

Tegasnya, sebagai orang muda, beliau tetap menghormati kewibawaan Mohd. Redzuan dan Adly dalam merebut undian kira-kira 93,000 pengundi di Alor Gajah.

“Saya sedar dan tahu ini adalah kerusi panas, kalau ikut laporan media, dua calon ini yang akan bertanding iaitu seorang bekas menteri dan seorang bekas ketua menteri, bukan calang-calang.

“Saya anggap ini satu cabaran besar untuk saya tawarkan kepada 93,000 pengundi di Parlimen ini kerana saya datang dari generasi yang muda sikit, tetapi, mampu memberi tawaran untuk masa depan yang lebih baik kepada rakyat di sini serta suara generasi saya, jika diberi mandat nanti.

“Dalam hidup ini, saya bersedia berdepan dengan segala cabaran dan halangan. Apa yang saya akan buat ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi hati rakyat di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Alor Gajah di Selandar dekat sini semalam.

Sebelum ini, pelbagai spekulasi berlegar yang mendakwa Shahril akan bertanding di Parlimen Jasin dan Tangga Batu.

Namun segalanya terjawab, sewaktu pengumuman calon oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan Shahril bertanding di Alor Gajah.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Alor Gajah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, dakwaan Shahril sebagai calon ‘bidan terjun’ adalah tidak tepat kerana ibunya berasal dari Melaka.

Tegas Muhammad Jailani, calon BN itu sebenarnya ialah calon strategik yang dihantar untuk merampas kembali Alor Gajah yang dimenangi oleh PH pada PRU-14.

“Beliau bukan terlalu asing di Alor Gajah kerana tahun lalu Shahril pernah mengikuti program Wanita, Puteri dan Pemuda yang diadakan di sini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya