DOHA: Skuad kendalian Louis Van Gaal akan membuat perhitungan dengan tuan rumah, Qatar pada hari ini bagi melengkapkan saingan Kumpulan A, dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya seri untuk mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2022.
Bagaimanapun, seandainya Belanda tewas kepada tuan rumah, mereka masih berpeluang mara, namun dengan syarat, iaitu Ecuador perlu menumpaskan Senegal dalam satu lagi perlawanan peringkat kumpulan memandangkan Qatar sudah terkeluar daripada persaingan susulan mengalami dua kekalahan berturut-turut.
Belanda yang mengalami mimpi ngeri empat tahun lalu apabila gagal melayakkan diri ke saingan Piala Dunia enggan mempersia-siakan peluang, masih belum boleh mencongak lawan yang bakal ditemui di pusingan seterusnya, memandangkan persaingan masih lagi terbuka buat kesemua empat pasukan dalam Kumpulan B membabitkan England, Iran, Amerika Syarikat dan Wales.
Pasukan yang diberikan julukan Oranje itu dijangka tidak akan membuat perubahan besar-besaran dengan Steven Berghuis bakal diturunkan untuk mengisi posisi Teun Koopmeiners di bahagian tengah.
Jentera serangan Belanda akan kekal diketuai Memphis Deepay serta pemain muda, Cody Gakpo yang setakat ini sudah pun meledak dua gol dalam kempen Piala Dunia kali ini.
Pemain PSV Eindhoven itu kini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Manchester United, namun Gakpo menjelaskan tumpuannya kini adalah bersama skuad kebangsaan.
“Tumpuan saya kini adalah Piala Dunia. Adalah sentiasa perkara bagus untuk mendengar beberapa khabar angin seperti itu tetapi saya cuba memberi tumpuan di sini dan melakukan yang terbaik,” jelas Gakpo yang difahamkan akan kembali berunding dengan kelab Inggeris itu pada Januari depan. – Agensi/UTUSAN