KUALA TERENGGANU: Pas tidak menolak berlaku perubahan senarai calon pada saat-saat akhir di kerusi Parlimen tertentu selagi belum tiba hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 5 November ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun perkara itu jarang berlaku namun tidak mustahil.
“Kebiasaannya apabila kita mencadangkan nama-nama calon untuk diangkat sebagai calon pada hari penamaan nanti, kita berusaha sebaik mungkin supaya ia ‘kalis ubah’ supaya tidak berlaku lagi perubahan.
“Tetapi, realiti yang berlaku, kadang kala ada juga dalam keadaan tertentu yang luar daripada jangkaan kita yang menyebabkan kerusi-kerusi tertentu itu berlaku perubahan.
“Jadi nak kata tidak ada tu, kita tak boleh janji lah, tapi kita seboleh mungkin kita usaha ia kalis ubah. Boleh berlaku (perubahan) dan boleh juga tidak berlaku.
“Jadi selagi tidak tiba pada hari penamaan calon, ada lagi ruang-ruang penambahbaikan di kerusi tertentu sekiranya ada, jika tak mendatangkan apa-apa masalah, ia akan diteruskan dengan senarai itu (senarai sedia ada),” katanya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pembukaan jajaran Jalan Pintas Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Majlis perasmian pembukaan jajaran Jalan Pintas Kuala Terengganu itu disempurnakan oleh Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Perikatan Nasional (PN) dijadual mengumumkan calon yang akan bertanding PRU15, esok.
Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu memberitahu, beliau tidak akan bertanding di kerusi Parlimen.
“Buat masa ini, saya tidak akan bertanding di mana-mana Parlimen di Malaysia, jangan susah-susah buat spekulasi.
“Ini kerana saya masih lagi (memikul tanggungjawab) sebagai Menteri Besar yang menjalankan tugas, banyak lagi agenda rakyat yang perlu diselesaikan,” katanya. – UTUSAN