KUALA NERUS : UMNO Bahagian Kuala Nerus meminta pucuk pimpinan parti segera menamakan bakal calon yang akan bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Ketua Pemudanya, Muhammad Hanafi Hassan berkata, pengumuman calon lebih awal sebelum hari penamaan calon perlu dilakukan untuk menamatkan desas-desus bakal calon yang dipilih berentap kerusi Parlimen tersebut.
“Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus secara dasarnya memang terlibat dalam beberapa proses pemilihan calon untuk memastikan kemenangan parti di kerusi ini.
“Namun, pada akhirnya ia akan dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan setelah mengambil kira pelbagai faktor semasa.
“Bagi pihak Pemuda, kami akan menerima sesiapa sahaja calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan dan akan bekerja habis-habisan untuk memastikan kemenangan calon tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengumumkan nama calon BN Parlimen Kuala Nerus menyebabkan pengundi di Parlimen ini berteka teki berhubung perkara itu.
Mengulas lanjut, Hanafi berkata pihaknya akur dan faham kerana Kuala Nerus adalah kawasan kritikal dan pucuk pimpinan pasti mempunyai perkiraan sewajarnya sebelum memutuskan siapa calon yang akan bertanding.
“UMNO berpeluang besar untuk menang di sini. Sudah tentu perkiraan politik antara kepimpinan parti adalah penting bagi menjamin kemenangan parti” katanya.
Kerusi Parlimen Kuala Nerus menjadi tumpuan pemerhati politik dan rakyat Malaysia kerana penyandangnya merupakan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas pada Mac lalu.
Pada masa ini terdapat spekulasi kononnya Mohd. Khairuddin akan menyertai UMNO seterusnya mewakili BN untuk kekal bertanding di Kuala Nerus.
Selain itu, antara nama-nama lain yang disebut-sebut bakal menjadi calon ialah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusof.
Apli ketika dihubungi Utusan Malaysia bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.
“Tunggu dulu,” katanya ringkas.
Pada PRU14, Khairuddin memenangi kerusi Parlimen Kuala Nerus selepas mendapat 37,974 undi mengetepikan calon BN, Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang memperoleh 29,527 undi dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdullah Muhamad (4,604 undi). – UTUSAN