Sasar 97% graduan UUM boleh dipasar - Utusan Malaysia

Sasar 97% graduan UUM boleh dipasar

Dr. Haim Hilman Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Utara Malaysia (UUM) menyasarkan kadar kebolehpasaran graduannya melonjak kepada 97 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Naib Canselornya, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sasaran itu termasuk untuk memastikan golongan sasar mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan akademik mereka.

Menurut beliau, agenda itu penting agar UUM muncul sebagai universiti yang kompetitif bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa selaras dengan pelan strategik, Gagasan Akademia dan Admin Holistik (Gagah) UUM 2021-2025.

“Kadar kebolehpasaran gra­duan yang direkodkan tahun lalu adalah 84 peratus dengan sasaran lonjakan secara berperingkat iaitu 90 peratus pada tahun depan diikuti 95 peratus (2024) dan 97 peratus (2025).

“Sehubungan itu, pelbagai inisiatif digerakkan dalam meningkatkan kualiti graduan untuk bersaing dalam pasaran kerja iaitu dengan memastikan program akademik dan pensyarah yang kompetitif di samping membawa sebahagian pemain industri sebagai tenaga pengajar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

UUM memiliki tiga pusat pengajian iaitu Pusat Pengajian Siswazah Ghazali Shafie, Awang Had Salleh dan Othman Yeop Abdullah.

Kadar kebolehpasaran graduan UUM yang direkodkan pada 2020 ialah pada tahap 87.9 peratus berbanding tahun sebelumnya sebanyak 92.2 peratus, 78.6 peratus (2018) dan 79.9 peratus (2017).

Haim Hilman berkata, gabungan tiga strategi itu sekali gus memberi kekuatan baharu kepada UUM dalam melahirkan graduan yang kompetitif dan menjadi buruan majikan.

Malah, katanya, UUM turut komited untuk memastikan graduan­nya menda­pat tempat di sya­rikat ter­ke­muka dunia, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat multinasional (MNC).

Beliau memberitahu, 70 peratus pelajar UUM adalah dalam kalangan B40 sekali gus mahu golongan ber­kenaan diperkasakan menerusi pendidikan.

“Kemiskinan bukan peng­ha­lang untuk seseorang berjaya dan apabila pelajar menjejakkan kaki di universiti, fokus utama mereka ialah kesungguhan belajar serta keazaman untuk mengubah nasib keluarga.

SEKTOR

“Kebanyakan graduan kita laris dalam sektor kewangan, perniagaan, perhotelan dan pengurusan selain teknologi maklumat,” katanya.

Haim Hilman berkata, UUM turut mempersiapkan pelajar dengan program pengukuhan Bahasa Inggeris yang mula dirintis pada semester ini di samping menggiatkan usaha pertukaran pelajar dengan universiti di negara jiran seperti Si­ngapura, Thailand dan Brunei.

Bahkan, katanya, universiti itu turut mengorak langkah menawarkan program sarjana dengan universiti luar dengan terbaharu ialah University of Wisconsin-Milwaukee di Amerika Syarikat (AS) dan mahu diperluaskan ke Perancis dan Australia.

UUM berada di kedudukan 401 hingga 500 dunia bersandarkan kepada ranking Times Higher Education World University Ran­kings (THEWUR) 2022 yang diumumkan bulan lalu.

Angka itu melonjak 200 anak tangga daripada sebelum ini, sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti kedua terbaik dalam kalangan universiti awam dan swasta di Malaysia.

Pengiktirafan itu membolehkan UUM berada di kedudukan setara dengan University of Denver di AS, Brunel University (United Kingdom), Victoria University of Wellington (New Zealand) dan Murdoch University (Australia) di samping 70 universiti terbaik Asia.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya