DOHA: Sembilan penyerang yang membarisi skuad Brazil ke Piala Dunia Qatar 2022 membuktikan skuad bimbingan Tite itu begitu serius untuk menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam.
Kesemua penyerang yang dibawa juga bersedia untuk mempamerkan tarian unik mereka apabila setiap kali menjaringkan gol di Piala Dunia pada edisi kali ini.
Juara dunia lima kali itu amat teruja menjelang aksi pembukaan menentang Serbia awal pagi esok dan pemain mereka berharap dapat membuat banyak tarian.
“Saya terus terang kepada anda, kami mempunyai pelbagai jenis tarian walaupun sehingga 10 jaringan. Satu untuk jaringan pertama, tarian kedua untuk gol kedua dan seterusnya. Jika kami jaring lebih 10 gol, kami perlu mencipta tarian baharu,” kata pemain jentera serangan Brazil, Raphinha.
Brazil membawa skuad lebih agresif ke Qatar dengan Raphinha antara sembilan penyerang dipilih oleh Tite bagi memburu gelaran Piala Dunia pertama sejak dua dekad lalu.
Antara bintang Brazil yang pernah terpalit kontroversi akibat tarian ialah Vinicius Jr yang meraikan jaringan untuk Real Madrid walaupun berdepan kritikan di Sepanyol dan akan terus berbuat demikian bersama skuad kebangsaan di Piala Dunia.
Raphinha dan Neymar antara yang menyokong tindakan Vinicius manakala Richarlison, penjaring terbanyak Brazil tahun ini berharap jaringan akan terhasil untuknya dan rakan sepasukan di Qatar.
“Apabila anda memakai jersi nombor 9 bersama skuad Brazil, apa yang anda lakukan hanyalah memburu gol. Bersama rakan sepasukan seperti ini, saya yakin jaringan akan datang.”
Penyerang lain disenaraikan Tite ialah Pedro, Antony, Gabriel Jesus dan Gabriel Martinelli dengan Richarlison, Raphinha dan Neymar dijangka diturunkan menentang Serbia tetapi belum dipastikan formasi serangan akan digunakan.
Selepas menentang Serbia, Brazil berdepan Switzerland dan Cameroon dalam aksi Kumpulan G. – AGENSI/UTUSAN