LANGKAWI: Calon Perikatan Nasional (PN) mencipta kejutan apabila berjaya menewaskan empat pencabarnya termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi dengan majoriti 13,518 undi.
Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah memperoleh 25,463 undi, sementara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Armishah Siraj dengan 11,945 undi.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertanding mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hanya mendapat 4,566 undi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Zabidi Yahya pula mendapat 5,417 undi, sementara calon Bebas, Datuk Abd. Kadir Sainudin sekadar memperoleh 89 undi sekali gus hilang deposit.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, sebanyak 508 undi rosak dengan 72.02 peratus daripada 66,777 orang pengundi berdaftar keluar mengundi.- UTUSAN