BESUT : Perikatan Nasional (PN) berjaya merampas kubu kuat Barisan Nasional-UMNO iaitu Parlimen Besut dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Kejayaan tersebut dicapai setelah calon PN, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh memenangi kerusi tersebut dengan majoriti selesa 18,666 undi mengatasi tiga pencabarnya yang lain.
Bekas Ahli Parlimen Setiu itu memperolehi 49,569 undi berhadapan calon BN, Datuk Nawi Mohamad (30,903), calon Pakatan Harapan, Abd. Rahman @ Abd. Aziz Abas (4,339) dan calon Pejuang, Wan Nazari Wan Jusoh (553).
Kemenangan tersebut diumumkan oleh Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Besut, Azran Amin Mazlan di Dewan Majlis Daerah Besut.
Pada PRU-14, Tan Sri Idris Jusoh daripada BN menang di Parlimen Besut dengan majoriti 4,599 undi.
Bagaimanapun, Idris mengumumkan beliau tidak mahu lagi bertanding kali ini untuk memberi laluan kepada pemimpin pelapis sebagai langkah meremajakan UMNO. – UTUSAN