Ramanan kekal bertanding di Sungai Buloh

Ramanan kekal bertanding di Sungai Buloh

Calon PKR kerusi P.107 Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuktamadkan untuk mengekalkan Timbalan Ketua Penerangan 1, Datuk R. Ramanan sebagai calon Parlimen Sungai Buloh bagi PRU15.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah PRU PKR, Rafizi Ramli kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Malah, Ramanan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, apa yang penting buat masa ini adalah untuk membantu Anwar memenangi 112 kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan.

Jelasnya, dia memulakan usaha dengan bertemu pengundi di Sungai Buloh bagi memastikan kemenangan PH dapat dikekalkan di Parlimen berkenaan.

“Benda-benda macam ini satu gangguan dan saya tidak mahu gangguan kerana saya sekarang tengah berjumpa dengan pengundi untuk memastikan Parlimen Sungai Buloh dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).

“Saya mahu menang kerusi ini untuk menyumbang kepada 112 kerusi Parlimen untuk Datuk Seri Anwar menjadi perdana menteri, itu sahaja,” katanya.

Menurut Ramanan dengan hanya berbaki dua hari lagi sebelum penamaan calon tumpuan sepatutnya diberikan untuk memenangi Parlimen Sungai Buloh dan bukan berpolitik di dalam parti.

“Tidak lagi perlu berpolitik, kita sekarang beritahu pengundi keadaan yang sebenarnya apa yang kita boleh tolong apa yang kita boleh buat, untuk mereka,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Rafizi akan berbincang dengan Anwar berhubung pencalonan Ramanan sebagai wakil PH di Parlimen Sungai Buloh.

Ia ekoran Barisan Nasional (BN) mencalonkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di kerusi berkenaan sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penyokong PKR untuk mempertahankan kerusi itu daripada dirampas pihak lawan.

Rafizi sebelum ini meminta para calon PH agar tidak mengambil mudah terhadap kehadiran Khairy di mana-mana kerusi ditandingi meskipun kubu kuat PH.

Bagaimanapun, semalam, Ketua PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH tidak akan menukar calon Parlimen Sungai Buloh yang diumumkan oleh Anwar.

Untuk rekod, Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R. Sivarasa (PKR) selepas memenangi kerusi tersebut pada PRU 14 dengan meraih 43,631 undi menewaskan Nuridah dari Pas yang memperoleh 16,977 undi, A.Prakash Rao mewakili BN (16,681) dan Zainurizzaman Moharam dari PSM (642). –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya