Rakyat Sabah tidak faham perjuangan Warisan - Utusan Malaysia

Rakyat Sabah tidak faham perjuangan Warisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kekalahan Parti Warisan (Warisan) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana rakyatnya tidak memahami perjuangan  parti yang berusaha menuntut hak-hak wilayah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (1963). 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, situasi itu berbeza di Sarawak menyaksikan wujud kesefahaman dan penyatuan sehingga berjaya membentuk blok kerusi parlimen untuk memajukan wilayahnya. 

Bekas ahli Parlimen Penampang itu bagaimanapun berkata, matlamat Warisan mengikut jejak langkah sama tidak kesampaian kerana rakyat Sabah lebih tertarik dengan gelombang parti-parti politik dari Semenanjung sehingga merebak ke Sabah. 

“Kami bukan membenci parti dari Semenanjung, cuma kami tidak mahu hal-hal berkaitan Sabah ditentukan oleh parti politik bukan dari Sabah. Sebab itu saya berpendapat orang Sabah masih tidak faham perjuangan kami. 

“Ramai beri tumpuan kepada Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mahu menjadi Perdana Menteri, sementara Warisan memberi tawaran  terbaik kepada pengundi iaitu fokus kepada hak-hak Sabah dan menjadi penentu sebagai rakan kongsi sama rata dalam kerajaan Persekutuan. 

“Kami juga sama dengan gabungan politik lain, mahu menukar kerajaan dan menggantikan Perdana Menteri namun kaedahnya berbeza. Sementara mereka mahu tukar kerajaan Persekutuan, kami juga sama dengan syarat pemimpin-pemimpin bersetuju dengan mengutamakan Sabah,” katanya ketika dihubungi semalam.

KEKALAHAN

Senada, Ketua Penerangan Parti Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kekalahan partinya antara lain berpunca daripada sokongan masyarakat Cina Sabah beralih kepada Pakatan Harapan (PH) sehingga kerusi-kerusi Parlimen Warisan mengecil.

Bekas ahli Parlimen Sepanggar itu sudah merasakan gelombang masyarakat Cina sejak awal yang mahu supaya Anwar menjadi Perdana Menteri berbanding menuntut hak-hak Sabah di dalam MA63. 

“Saya percaya dengan masa depan. Mengapa orang Cina di Sabah perlu berfikir sebagai ‘orang Sabah’ dan bukan sebagai Cina, kerana lihatlah di Sarawak, orang Cina di sana berfikir sebagai ‘orang Sarawak’. 

“Sebab itu kita tidak akan dapat membawa negara ke hadapan jika terus menjadi Kadazan, Bajau, Cina dan sebagainya. Tetapi letaklah keutamaan supaya Sabah setanding dengan Sarawak. Kalaulah mereka melihat lebih luas tentang Sabah, kejadian seperti ini tidak akan berlaku,” kata beliau. 

Darell dan Mohd. Azis gagal mempertahan kerusi masing-masing di Penampang dan Sepanggar apabila PH berjaya merampasnya dengan jurang undi terlalu besar. 

Warisan hanya menang tiga daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, iaitu di Semporna (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal); Lahad Datu (Mohammad Yusof Apdal) dan Kota Belud (Isnaraissah Munirah Majilis). Warisan bertanding 52 kerusi di seluruh negara. 

Pada PRU14, parti itu menang lapan kerusi Parlimen di Sabah iaitu Semporna, Lahad Datu, Kalabakan, Papar, Penampang, Sepanggar, Kota Belud dan Batu Sapi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya