Rakyat Sabah, Sarawak mahu wakil mereka jadi TPM

Rakyat Sabah, Sarawak mahu wakil mereka jadi TPM

PENDUDUK Sabah, Sarawak mahu wakil Timbalan Perdana Menteri dalam kalangan mereka
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rata-rata penduduk Sarawak dan Sabah ingin melihat ada perwakilan dari negeri mereka sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM), namun, berharap calon-calon berkenaan adalah yang berkelayakan. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, salah seorang rakyat  Sarawak, Huda Omar, 23, berkata, adalah lebih baik jika salah satu daripada 23 ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilantik sebagai jawatan nombor dua terpenting dalam negara berkenaan.

Menurutnya, kemenangan besar oleh parti tersebut pada PRU15 membuktikan GPS berjaya meraih kepercayaan penduduk Sarawak untuk menjadikan mereka sebagai pemimpin berwibawa di parlimen masing-masing. 

“Apa yang saya dapat lihat jika mereka diberi peluang untuk menyandang jawatan tersebut, dengan adanya sikap kepemimpinan mereka yang disenangi oleh penduduk sini, sudah pasti mereka akan membawa sikap tersebut apabila menjadi TPM,“ katanya.

Sementara itu, Stanley Ryan, 35, berpendapat sekiranya ada ahli wakil dari Sarawak bersesuaian untuk memegang jawatan tersebut, memang tidak akan menjadi masalah baginya kerana dapat membawa kebaikan juga pada negeri itu. 

Stanley Ryan

Katanya,  jika tidak ada seorang pun mempunyai kriteria yang sesuai untuk menjadi calon TPM, maka, jawatan tersebut memang tidak layak untuk dipegang walaupun Kabinet Sarawak betul-betul menginginkannya.

Dalam pada itu, Leo Sair, 66, berkata peluang harus diberi kepada Sarawak untuk diberi peluang jawatan TPM kerana tindakan itu adalah adil bagi orang Borneo yang juga berhak. 

Leo Sair

Tambahnya, kerajaan Sarawak secara tidak langsung dapat membuktikan kepada para penduduknya mengenai kemampuan pemimpin-pemimpin dari negeri itu.

Sehubungan it,  Nur Ain Omar, 24, berkata, rakyat negeri berkenaan berharap pemberian jawatan TPM biar mengikut kapasiti kemampuan seseorang calon, bukannya semata-mata mahu menarik perhatian atau sokongan pengundi.

“Bagi menyandang jawatan TPM, ia memerlukan orang yang betul-betul layak, tidak kiralah mereka sudah lama atau pun tidak dalam dunia politik, namun, jika mereka bijak dalam mengatur strategi pemerintahan negara, maka tidak ada salahnya,” tambahnya.

Dia  juga berasa bangga jika ada ahli politik di Sarawak menyandang  jawatan tersebut yang juga  merupakan antara  jawatan bukan sahaja tertinggi, malah, terberat dalam Kabinet.

Bagi pendapat rakyat Sabah mengenai jawatan TPM pula, Florina Deris, 26, berhasrat agar  Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim harus memberi peluang kepada orang Borneo untuk menyandang jawatan TPM.

Florina Deris

“Setelah sekian lama jawatan tersebut tidak  pernah disandang oleh orang Sarawak dan Sabah, maka untuk pemilihan Kabinet kali ini, mungkin boleh dipertimbangkan untuk melantik calon-calon dari Borneo.

“Dengan ini, suara penduduk Malaysia terutamanya di kepulauan Borneo ini dapat  didengari dan pembangunan di  Sabah pula akan rancak dilakukan,” jelas Florina.

Begitu juga dengan pendapat salah seorang  penduduk Sabah, Elveralda, 23,  yang mengatakan bahawa perlu ada wakil dari Sabah untuk memegang TPM.

Elveralda

“Rakyat Sabah inginkan kemajuan, maka dengan ada perwakilan dari negeri ini, kita nak juga perubahan pada Sabah, dari segi pembangunan mahupun ekonomi,” katanya.

Semalam, Mingguan Malaysia, melaporkan, parti politik di dua negeri berkenaan berharap agar Perdana Menteri dapat mempertimbangkan wakil dari negeri tersebut untuk dilantik sebagai TPM. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya