PRU15: Sokong calon dipilih - PM

PRU15: Sokong calon dipilih -PM

ISMAIL Sabri Yaakob melawat bilik gerakan BN Bera di Bera, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap ahli dan kepimpinan Barisan Nasional (BN) perlu menyokong calon yang dipilih dan memberikan fokus bagi memastikan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, semua ahli BN perlu bekerja keras dan mengetepikan perbezaan pandangan dan masalah yang timbul kerana apa yang penting adalah parti.

“Saya mendengar ada bahagian dan Parlimen yang mengalami sedikit masalah dan ini merupakan perkara biasa setiap kali pilihan raya negeri, pilihan raya kecil atau pilihan raya umum sekali pun memang akan ada isu-isu yang timbul di kawasan Parlimen.

“Saya pernah sebutkan dulu bahawa tidak semua yang akan bertanding walaupun di setiap kawasan Parlimen semuanya layak untuk bertanding tetapi yang terpilih seorang sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat bilik gerakan BN Bera di sini hari ini.

Isu pemilihan calon menjadi antara isu panas dalam BN pada masa ini selepas beberapa nama besar digugurkan selain pemilihan calon baharu yang mendapat bantahan sebahagian ahli-ahli BN.

Ekoran itu juga terdapat bekas Ahli Parlimen BN seperti Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan, membuat keputusan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) begitu juga penyandang Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib. 

Mengulas tentang penamaan calon esok, Ismail Sabri meminta semua penyokong parti tidak menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan berlakunya perbalahan.

Menurutnya, semua penyokong yang akan turun menyokong calon perlulah hormat menghormati antara satu sama lain dan memberi keutamaan kepada keharmonian.

“Kita semua sama-sama hantar mengiringi calon kita dengan harapan calon kita boleh bertanding dengan baik dan menang selepas itu, esok hanyalah hari pertama penamaan calon, jadi janganlah tiba-tiba kerana provokasi terebut berlaku pergaduhan dan sebagainya. 

“Yang pentingnya semua mempunyai nawaitu yang sama untuk menawarkan diri berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya