KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam membuka tujuh kertas siasatan atas pelbagai kesalahan ketika musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengarah Operasi PRU-15 PDRM, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, jumlah itu membabitkan tiga kertas siasatan di Selangor; dan masing-masing dua di Pahang dan Johor.
Menurut beliau, kertas-kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 147 Kanun Keseksaan , Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dan beberapa kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.
“Selain itu, kami turut menahan enam individu membabitkan kes yang dilaporkan di Kedah pada 19 November lalu.
“Penangkapan itu dilakukan selepas kira-kira 300 orang daripada beberapa kumpulan parti berkumpul di Dataran Sungai Petani sebelum diarahkan bersurai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Hazani, sejak 4 November lalu, sebanyak 3,417 laporan polis diterima di seluruh negara manakala 508 kertas siasatan telah dibuka.
“Sebanyak 149 daripada laporan diterima dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan enam kes telah dituduh selain tujuh tiada lanjut (NFA),” ujarnya. – UTUSAN