PRU15 mungkin penggal terakhir saya-Ku Li - Utusan Malaysia

PRU15 mungkin penggal terakhir saya-Ku Li

TENGKU Razaleigh (tengah) bersama pemimpin UMNO Bahagian Gua Musang dan peserta yang menyertai Kejohanan Bola Jaring Piala Ku Li, di Bukit Cekati, di Gua Musang, Kelantan hari ini. -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penyandang kerusi Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li memberi bayangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mungkin penggal terakhirnya bergelar wakil rakyat selepas sepuluh penggal mewakili penduduk di kawasan itu.

Ku Li berkata, beliau  sudah lama menggalas tanggungjawab tersebut dan sudah tiba masanya memberi laluan kepada orang lain.

“Barang kali ini adalah ‘The Last Hurrah’ (kemenangan terakhir sebelum bersara) buat saya,” katanya selepas merasmikan Kejohonan Bola Jaring Piala Ku Li, di Bukit Cekati, di sini hari ini.

Veteran UMNO itu memberitahu, memegang rekod sebagai Ahli Parlimen selama sepuluh penggal bukanlah satu kemegahan sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin.

“Saya tidak menafikan banyak pelapis pemimpin muda di daerah ini. Namun rakyat di sini masih mahu saya terus kekal bertanding termasuk Orang Asli,” kata beliau.

Pada PRU14 lalu, Ku Li menang dengan majoriti 3,913 undi menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan (PH).

Dalam majlis sama, Ku Li berkata, pemimpin yang ‘merajuk’ kerana na­manya tidak dicalonkan pada PRU15 sehingga melakukan protes  bertanding atas tiket parti lain bukanlah pejuang parti sebenar.

Oleh itu, beliau mengingatkan pemimpin di semua peringkat harus menerima keputusan parti yang meletakkan siapa sahaja calon untuk bertanding pada kali ini.

Katanya,  sikap pemimpin kecewa yang menukar parti lain bukanlah perkara baharu malah disifatkan sebagai tidak matang. 

“Nombor satu mereka ini macam budak-budak dan nombor dua mereka tak dapat bersabar. Orang merajuk kerana dia rasa kecewa. Dia masuk parti lain. 

“Dukacitalah kalau itu sikap dia, maknanya dia bukanlah menjadi pejuang kita sebenarnya. Kalau kita sendiri nak juga, tapi Tuhan tak izin tak boleh bertanding juga,” katanya .UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya