PRU15: Khairuddin bawa semangat perjuangan MN

PRU15: Bertanding atas tiket BN, Khairuddin bawa semangat perjuangan MN

MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali mahu membawa semangat perjuangan Muafakat Nasional (MN) bagi mempertahankan kerusi Parlimen itu atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu berkata, semangat perpaduan yang ingin dibawa itu bertepatan dengan keputusan BN memilihnya sebagai calon.

“Saya konsisten dengan pendirian dibuat Majlis Syura Ulama Pas sewaktu saya masih menjadi setiausahanya iaitu menghalang kemaraan dan kemenangan Pakatan Harapan (PH).

“Kuala Nerus adalah kerusi panas Muafakat Nasional. Apa yang saya perjuangkan selama ini demi muafakat (orang Islam),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah agama di Surau Kampung Baru Seberang Takir, di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dalam kenyataan mengumumkan Mohd. Khairuddin sebagai bakal calon untuk mempertahankan kerusi itu atas tiket BN.

Pada PRU14, Khairuddin berjaya mengekalkan kemenangan di Kuala Nerus setelah memperoleh 37,974 undi dengan majoriti 8,447 menewaskan calon BN, Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang mendapat 29,527 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Abdullah Muhammad (4,604 undi).

Mohd. Khairuddin berkata, bagi menyekat kemaraan PH, beliau berazam menyumbang satu kerusi iaitu Kuala Nerus kepada BN di peringkat Parlimen.

Bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu menekankan, hanya BN yang mempunyai kekuatan besar di peringkat akar umbi boleh menyekat kemenangan PH pada PRU15. 

“Walaupun saya berasal daripada Pas, saya sedar kekuatan Pas tidak sebenar BN. Ini terbukti pada PRU14.

“Kalau kita hendak menghalang PH menjadi kerajaan, tiada cara lain selain mesti bersama BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya