PETALING JAYA: Dalam tempoh berbaki kira-kira 12 jam kini, calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh meneruskan usaha memikat pengundi secara kempen fizikal.
Menerusi kempen tersebut, penghuni akan rasa lebih dekat dengan calon ketika berbual dari hati ke hati serta berkongsi masalah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, kempen secara fizikal dilihat masih menjadi pilihan terbaik dalam pusingan terakhir ini bagi ‘mencuri’ hati terutama golongan pengundi lama, baharu dan atas pagar.
Menurut beliau, kedua-dua kaedah sama ada menerusi media sosial atau fizikal perlu seiring, namun dalam usaha menarik sokongan pengundi pada saat-saat terakhir ini berkempen secara fizikal dengan berkunjung dari rumah ke rumah dapat membentuk sentuhan peribadi kepada penduduk.
“Sudah pastinya pengundi mahu mengenali calon mereka dengan lebih dekat dan mengetahui apa yang ditawarkan kepada mereka oleh calon serta parti. Jadi saya melihat kaedah berkempen secara fizikal masih relevan,” katanya.
Kata beliau, penggunaan semua medium media sosial pula lebih berpihak kepada anak muda terutama dengan pelaksanaan Undi18.
MEDIA SOSIAL
“Jika dilihat calon Parlimen Pandan yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menggunakan kedua-dua kaedah tetapi melalui media sosial lebih mudah baginya untuk mempengaruhi orang ramai terutama dalam mendedahkan angka-angka walaupun belum pasti kesahihannya. Pengundi baharu dan atas pagar pastinya akan mudah percaya mengenai perkara tersebut.
“Mereka mewujudkan naratif tentang satu-satu isu untuk menarik sokongan orang muda tetapi bagi orang lama selalunya mereka sudah mengetahui siapa yang mahu dipangkah,”katanya.
Senada, Dekan dan Pensyarah Program Komunikasi Media Baharu Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr. Mohd. Faizal Kasmani berkata, pada saat akhir seperti ini, kempen berbentuk negatif akan meningkat, namun ia perlu dilakukan dengan bijak bagi mengelakkan memakan diri sendiri.
“Kempen di saat akhir sangat penting kerana semasa inilah masanya pengundi lebih cakna dan bersemangat berkaitan calon. Semasa ini juga calon atas pagar akan membuat keputusan masing-masing.
“Bagi calon tempatan, semasa inilah mereka perlu berhabisan berkempen secara fizikal. Amat penting mengingatkan pengundi turun mengundi selain menyakinkan mereka mengapa dirinya lebih baik berbanding calon lain.
“Semasa ini calon boleh menyediakan klip video berimpak dengan meletakkan elemen kejutan untuk lebih meyakinkan,” ujarnya.- UTUSAN