BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kaji selidik yang tular dalam media sosial dan mendakwa pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) sedang mendahului dan Barisan Nasional (BN) ketinggalan hanya propaganda politik yang sengaja dibuat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perdana Menteri berkata, rakyat khususnya pengundi diminta tidak terpedaya dengan dakyah itu yang merupakan perang psikologi yang dicetuskan pembangkang.
Menurutnya, propaganda itu sengaja dibuat untuk menarik golongan atas pagar yang belum membuat keputusan untuk mengundi parti mana pada PRU15 ini supaya memilih mereka setelah melihat kaji selidik terbabit.
“Bagi saya, itu propaganda, kalau kita lihat Merdeka Centre misalnya, kita tahu ke arah mana badan itu. Jika setiap parti ini terlibat dengan syarikat yang membuat tinjauan dan dibayar parti berkenaan, tentunya laporan lebih kepada parti berkenaan.
“Sebab itu bagi saya jangan kita terpengaruh, ini merupakan perang psikologi dari pembangkang iaitu untuk menarik golongan atas pagar yang masih belum buat keputusan, apabila lihat kononnya mereka menang, jadi, akhirnya undi akan berpindah kepada mereka.
“Jadi, jangan tertipu dengan dakyah seperti ini. Yakinlah kalau kita bersama BN, kita kekallah bersama BN dan seperti saya kata, kalau kita berikan penjelasan yang baik, tinjauan itu tidak akan mempengaruhi fikiran sesiapa,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Mengkarak Stesen di Dewan Mengkarak Stesen di sini hari ini.
Dalam minggu akhir kempen PRU15 ini, tersebar dalam media sosial laporan dan kaji selidik yang mendakwa PH sedang mendahului BN, begitu juga Perikatan Nasional (PN).
Baru-baru ini, Presiden PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, pakatan itu sedang jauh mendahului sokongan pengundi berbanding parti lawan menjelang hari mengundi, Sabtu ini.
Presiden PKR itu dilaporkan sebagai berkata, maklumat berkenaan adalah berdasarkan data dan kajian setempat yang dilaksanakan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, dalam PRU15 ini tiada siapa boleh berasa selesa termasuk dirinya.
“Dalam pilihan raya umum (PRU) ini, apa-apa sahaja boleh berlaku. Jadi jangan ada berasa selesa. Tiada siapa boleh kata gerenti menang termasuk saya dan kita mesti terus bekerja sehinggalah diumumkan keputusan pada 19 November ini.
“Jangan ada selesa, laporan macam-macam kata, kita 70 peratus, 60 peratus. Kita mesti terus bekerja kuat sehingga hari pengumuman.
“Selepas PRU14, tiada lagi istilah gerenti menang, dulu pun kita kata kita menang dalam PRU14, dua pertiga majoriti 148 kerusi Parlimen, akhirnya kita dapat 79 kerusi sahaja, jadi tak boleh terlalu konfiden,” katanya.-UTUSAN