PRU15: Jamal lapor polis isu poster tular

PRU15: Jamal lapor polis isu poster fitnah tular

JAMAL Md. Yunos (tengah) bersama Mohd. Imran (kiri) selepas membuat laporan polis di IPD Sabak Bernam, Sungai Besar, Selangor, petang tadi. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos tampil membuat laporan polis berhubung satu posting poster berunsur fitnah dan menyemarakkan sentimen perkauman.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini, kira-kira pukul 5 petang tadi.

Peguam beliau, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, poster yang menuduh dan mengaitkan Jamal itu dikhuatiri berpotensi menggugat ketenteraman awam dan berunsur hasutan.

“Kenyataan dimuat naik di media sosial memaparkan poster kempen ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 2016 itu jelas berbentuk fitnah yang menyentuh peribadi.

“Perkara itu sudah dijelaskan Jamal beberapa kali ketika kempen PRK Parlimen kerana ia ternyata berniat jahat,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu.

Jelas beliau, hantaran tular itu juga disifatkan mengambil kesempatan ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kita tahu suhu politik semakin meningkat dan tindakan seumpama itu jelas menyentuh isu perkauman selain keselamatan calon kita ketika berkempen.

“Jika pengundi mempercayainya, ia akan menggugat ketenteraman awam,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mohd. Imran meminta polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, pihaknya telah membuat semakan mengenai perkara tersebut.

“Kertas siasatan sudah dibuka pada Jun 2016 berkaitan isu papan iklan kempen pilihan raya tersebut.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak memuat naik sebarang isu sensitif yang boleh menggugat keharmonian dan kelancaran proses PRU15,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya