KLANG: Calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kapar berjanji akan menyelesaikan masalah banjir di kawasan Meru dan Kapar sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat di sana pada 19 November ini.
Calon PN, Dr. Halimah Ali berkata, pengalamannya sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang selama 10 tahun menjadi bekalan bagi menyelesaikan isu terbabit di kawasan yang ditandinginya ketika ini.
“Semasa saya menjadi ADUN di sana, Kampung Delek merupakan kawasan yang kerap kali berlaku banjir.
“Saya mengambil langkah proaktif dengan menekan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Selangor terdahulu, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya mengeluarkan peruntukan sepenuhnya bagi memperbaiki sistem perparitan di sana.
“Alhamdulillah, Allahyarham meluluskan peruntukan tersebut dan masalah banjir di Kampung Delek berjaya diselesaikan sepenuhnya,” katanya dalam satu sidang akhbar khas mengenai isu banjir di Meru di Pusat Khidmat Malaysia, Jalan Limau, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau meminta kerajaan negeri supaya melantik pakar bagi menjalankan siasatan punca sebenar berlakunya banjir di Meru, dua hari lalu.
Ini kerana kata Dr. Halimah, sudah dua kali penduduk di kawasan terbabit menghadapi bencana tersebut dalam tempoh setahun.
“Saya mencadangkan supaya diwujudkan beberapa kolam takungan air di sekitar Meru dan Kapar bagi menakung air sekiranya hujan.
“Saya juga minta supaya segala kerja projek pembangunan di dua pekan ini perlu diteliti sebaiknya sebelum ia dilaksanakan.
“Ini bagi mengelak projek pembangunan tersebut menjadi punca berlakunya banjir kepada dua kawasan ini selepas ini,” tegasnya. –UTUSAN