KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) negeri akan menggerakkan seluruh jenteranya di Parlimen Tumpat bagi membantu kemenangan Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang bertanding atas tiket parti berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pada masa sama parti itu tidak akan mencampuri urusan antara Che Abdullah dengan Pas.
“Soal Pas mahu pecat siapa itu adalah urusan mereka. Apa yang penting sekarang sebagai calon, Che Abdullah telah mendapat keahlian langsung (direct membership) dengan BN.
“Sama ada beliau (Che Abdullah) akan menjadi ahli UMNO atau tidak akan dibincangkan selepas PRU15 nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Calon PRU15 BN di Pejabat Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, di sini hari ini.
Ahmad Jazlan, calon BN di Parlimen Machang menyatakan keyakinan parti itu akan mencapai kemenangan di Kelantan pada pilihan raya kali ini.
Katanya, BN negeri kini berada dalam mood terbaik dengan sokongan dilihat semakin bertambah dari segmen-segmen pengundi di negeri ini.
“Rakyat sudah melihat keadaan negara ketika BN kalah pada pilihan raya lalu. Sebab itu rakyat yakin BN adalah pilihan terbaik untuk mentadbir negara.
“Dulu rakyat tidak boleh menilai kerana tiada parti lain yang memegang tampuk pentadbiran negara selain BN. Setelah apa yang mereka pamerkan di pentas pentadbiran, kini rakyat sudah boleh menilai,” kata beliau.- UTUSAN