PRU15: BN berjaya urus krisis dalaman, redakan keadaan - Utusan Malaysia

PRU15: BN berjaya urus krisis dalaman, redakan keadaan

PENGUNJUNG Pasar Malam Chembong, Rembau tidak melepaskan peluang bergambar bersama Mohamad yang juga calon BN di Parlimen Rembau.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Selepas hari kelima kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Barisan Nasional (BN) ketika ini dilihat berjaya menguruskan krisis yang berlaku menuju ke hari pengundian pada 19 November ini.

Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengarah PRU15 BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan tersebut mengembirakannya kerana jika ia tidak diuruskan ia akan membawa impak yang besar.

“Setelah lima hari, yang penting sekali, pasukan pengurusan krisis kami telah berjaya meredakan keadaan, ini memang berlaku, dalam PRK, PRN macam-macam gegaran, sana-sini tetapi Alhamdulillah, ia mula reda dan selesai.

“Macam di Jempol sudah selesai, tidak ada isu dan ini merupakan suatu yang amat mengembirakan saya kerana gegaran-gegaran ini kadang-kadang kalau kita tidak selesaikan, tidak memberikan perhatian, ia akan mengakibatkan impak pada pilihan raya tersebut, akan besar,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Pasar Malam Chembong, di sini dalam jaduan kempennya petang tadi.

Beliau yang juga calon BN di Parlimen Rembau dalam pada itu, sekali lagi mengingatkan agar calon BN  yang lain pada pilihan raya umum kali ini supaya terus berkempen secara sihat dan tidak melakukan penghinaan kepada calon yang lain.

“Nampaknya PRU15 amat tenang kempen, saya pun telah minta kepada semua anak buah berkempen secara sihat. Kita jangan hina orang, jangan caci orang, beritahu apa kita nak buat, kerajaan yang macam mana nak kita tubuhkan jika diberi mandat,” jelasnya.

Sementara itu, Mohamad turut mengharapkan agar rakyat berhati-hati membuat pilihan semasa hari pengundian nanti dan tidak mengikut sentimen dan perasaan.

“Fikirkan bahawa impak daripada PRU15 ini, lima tahun yang akan datang, kita tidak mahu asyik bertukar kerajaan di tengah-tengah jalan, tukar Perdana Menteri. Ia tidak akan mendatangkan kebaikan kepada negara kita,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya