PRU15: Anak ganti Paul Yong di DUN Tronoh - Utusan Malaysia

PRU15: Anak ganti Paul Yong di DUN Tronoh

BRYAN Yong Wu Sean (kanan) menunjukkan borang penamaan calon untuk bertanding di DUN Tronoh bersama bapanya, Paul Yong Choo Kiong. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Anak sulung bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yakin dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi bapanya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bryan Yong Wu Sean, 25, berkata, dia akan bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan telah menerima watikah pelantikan tersebut daripada Presiden PBM, Datuk Larry Sng.

Menurut beliau, dia yang juga ahli PBM itu telah mendapat ‘restu’ bapanya untuk bertanding di kerusi DUN berkenaan.

“Saya yakin, dengan sokongan bapa dan bimbingan rakan parti, PBM akan dapat memenangi kerusi DUN Tronoh sekali gus mempertahankan kerusi bapa saya.

“Menerusi kemenangan itu nanti, saya mahu meneruskan kerja-kerja bapa di DUN berkenaan semasa dia menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Julai lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap bekas exco kerajaan negeri itu setelah didapati bersalah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Choo Kiong, 52, yang berpengalaman sembilan tahun sebagai wakil rakyat memenangi PRU14 atas tiket DAP bagi DUN Tronoh.

Beliau bagaimanapun mengisytiharkan keluar daripada parti dan memilih untuk menjadi ADUN Bebas pada Mac 2020 sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember 2020 sebagai ahli bersekutu.

Terkini, beliau menyertai PBM sejak Januari lalu dan dilantik sebagai bendahari agung parti tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya