PRU15: Ahli Pas dilarang bantu kempen parti lain

PRU15: Ahli Pas dilarang bantu kempen parti lain

TAKIYUDDIN Hassan menunjukkan Perlembagaan Pas yang melarang ahlinya membantu kempen parti lain pada PRU15 di Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas memberi amaran kepada ahlinya agar tidak terlibat termasuk membantu berkempen bekas penyandang Ahli Parlimen Pas yang bertanding menggunakan tiket parti lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ahli parti yang didapati melakukan perkara itu akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut perlembagaan parti termasuk boleh dipecat.

“Saya memberi amaran kepada ahli-ahli mengenai perkara ini. Berdasarkan Perlembagaan Pas, ahli yang didapati membantu calon yang bertanding di bawah tiket parti lain dianggap melanggar disiplin dan tatatertib parti.

“Ini kerana, mereka dianggap melakukan tindakan yang menyalahi atau merugikan kepentingan Pas,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Jalan Bayam di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang merupakan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Kota Bharu berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarant aduan berkait kesalahan tersebut daripada bahagian parti.

“Proses tatatertib dalam Pas mempunyai prosedurnya. Perlu ada aduan dari cawangan atau kawasan dahulu sebelum dibawa ke jawatan kuasa tatatertib. Ada kes yang memerlukan prosiding jawatan kuasa tatatertib dan ada yang dijalankan secara automatik.

“Ahli yang menolong calon bertanding atas tiket parti lain tidak dianggap menyertai parti lain. Mereka akan diberikan peluang membela diri. Pas melakukan proses tatatertib secara demokrasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, berdasarkan Perlembagaan Pas, keahlian boleh terhenti melalui permintaan sendiri, dipecat atau mengisytiharkan keluar Pas atau menyertai parti politik lain.

Menurutnya, berdasarkan Fasal 15 (1)(c) Perlembagaan Pas, dua ahli Pas yang mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Tumpat dan Kuala Nerus bukan lagi ahli parti dan mereka akan dimaklumkan berkenaan perkara itu.

“Bagaimanapun, kita tiada masalah apabila ada dakwaan salah seorang calon itu masih mengaku ahli Pas ketika masuk berkempen ke kampung-kampung,” ujarnya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya