SUNGAI SIPUT: Seramai 100 orang generasi baharu Felda Lasah di sini bakal menerima kediaman baharu menerusi Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) pada Mac tahun depan.
Ketua Peneroka Felda Lasah, Khairuddin Mohamed berkata, projek berkenaan telah sekian lama dinantikan oleh generasi baharu di tanah rancangan itu.
“Kebanyakan generasi baharu ini menyewa, malah mereka juga tinggal bersama generasi pertama iaitu ibu bapa. Keadaan ini agak tidak selesa bagi mereka yang mempunyai keluarga besar.
“Jadi, dengan siapnya projek perumahan ini, dapat memenuhi impian generasi baharu untuk memiliki rumah sendiri sekali gus hidup dengan lebih selesa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Terdahulu, seramai lima generasi baharu Felda menerima dokumen sebagai simbolik daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Ramah Mesra Bersama Keluarga Felda Lasah di sini.
Menurut Khairuddin, pihaknya menerima sebanyak 202 permohonan daripada generasi baharu Felda untuk projek perumahan berkenaan.
Bagaimanapun katanya, hanya 100 permohonan diterima selepas melalui tapisan sebanyak tiga kali oleh Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR).
“Projek ini sudah hampir siap, anggaran kerja pembinaan telah mencapai 90 peratus. Kita jangka mereka akan dapat mendiami rumah itu pada Mac tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Ismail Sabri mengumumkan Felda telah bersetuju menghapuskan hutang peneroka Felda Lasah berjumlah RM1.8 juta.
Katanya, hutang berkenaan membabitkan 70 peneroka yang mengalami kerugian akibat serangan gajah liar yang memusnahkan tanaman mereka.
“Ada 70 peneroka yang kebun terjejas akibat serangan gajah dan berhutang dengan Felda RM1.8 juta. Saya sudah bincang dengan Pengurus Besar dan hari ini, Felda bersetuju menghapus kira hutang sebanyak RM1.8 juta.
“Saya beritahu pengurus jangan setakat uruskan hutang tapi ambil tindakan bagaimana mahu selesaikan serangan gajah pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN