SHAH ALAM: Polis Selangor memberi tumpuan khusus kepada kawasan yang ditandingi calon-calon popular pada hari penamaan calon esok dan pada hari mengundi pada 19 November ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kawasan tersebut adalah Parlimen Ampang, Gombak, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Shah Alam, Sepang dan Sungai Buloh.
“Kita letakkan lebih ramai anggota untuk bertugas di kawasan-kawasan tersebut bagi memastikan proses penamaan calon serta pengundian berjalan lancar.
“Saya juga nak ingatkan kepada semua penyokong calon dan parti politik bahawa dron tidak dibenarkan terbang berdekatan pusat penamaan calon dan pengundian,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 4,956 pegawai dan anggota yang bertugas di pusat penamaan calon manakala 13,836 pegawai dan anggota di pusat mengundi di kesemua 22 Parlimen di Selangor.
Menurutnya, pihaknya telah mengenal pasti 77 kawasan panas (hot seat) di kesemua Parlimen negeri itu dan bersedia bertindak sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.
“Untuk makluman, kita juga menutup beberapa jalan kecil dan utama yang terletak berdekatan pusat penamaan calon dan pengundian.
“Bagi kawasan Gombak, jalan yang ditutup adalah Jalan Persiaran 3, Bandar Baru Selayang dan Lorong Sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pusu.
“Manakala untuk kawasan Petaling Jaya, Jalan Yong Shook Lin, Jalan 52/18 dan Jalan Lebuh Raya Utama ditutup,” ujarnya.- UTUSAN