Poland yakin peluang ke kalah mati

Poland yakin peluang ke kalah mati

PEMAIN-pemain Poland meraikan jaringan Robert Lewandowski (terlindung) menentang Arab Saudi, semalam. Poland menang 2-0. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Poland mengukuhkan cengkaman saingan Kumpulan C selepas membenam Arab Saudi 2-0 dengan penyerangnya Robert Lewandowski meraikan kemenangan pasukannya penuh emosi selepas menempa gol pertamanya dalam Piala Dunia.

Pemain berusia 34 tahun itu berkata, kejayaan itu telah memenuhi impian zaman kanak-kanaknya, apatah lagi setelah dia terlepas sepakan penalti penting dalam aksi seri tanpa jaringan pada perlawanan pembukaan menentang Mexico, Rabu lalu.

Lewandowski merebahkan badan ke tanah selepas menjaringkan gol pada minit ke-82 dan menangis meraikan jaringan gol sulungnya dalam aksi Piala Dunia kelimanya itu sepanjang bergelar pemain bola sepak.

“Saya rasa semakin tua dan semakin emosi, dan saya juga sedar kerana saya datang ke Piala Dunia ini yang mungkin juga penglibatan terakhir saya.

“Selepas menjaringkan gol, segala-galanya dapat dirasakan ada dalam diri saya. Impian saya sejak dulu dan betapa pentingnya gol itu, bagaimana cara saya menghasilkannya… Semua cita-cita dari zaman kecil telah dipenuhi dan menjadi kenyataan,” katanya.

Gol Lewandowski itu hadir selepas Piotr Zielinski memberikan Poland jaringan pendahuluan pada minit ke-39, diikuti aksi penalti menarik yang berjaya diselamatkan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny.

Bekas penjaga gol Arsenal itu terlebih dulu menafikan sepakan penalti Salem Al-Dawsari dan kemudian menyelamatkan cubaan Mohammed Al-Burayk.

Poland hanya memerlukan sekurang-kurangnya keputusan seri menentang Argentina, Rabu ini bagi melayakkan mereka layak ke pusingan 16 terakhir, sementara Arab Saudi masih berpeluang walaupun terpaksa bersaing dengan Argentina apabila menentang Mexico.

Arab Saudi yang memulakan kempen Piala Dunia mengejutkan Argentina Selalu lalu, gagal mengulangi persembahan hebat mereka walaupun memulakan permainan dengan penuh yakin mengasak kubu lawan memaksa Szczesny terpaksa bekerja keras termasuk ketika menahan rembatan Mohamed Kanno seawal minit ke-13.

Bagaimanapun, Poland mendahului apabila hantaran silang rendah Matty Cash singgah di kaki Lewandowski sebelum Zielinski yang menyudahkan jaringan pada minit ke-39.

Empat minit kemudian, Arab Saudi diberi penalti selepas semakan pengadil memutuskan Krystian Bielik telah mengasari Saleh Al-Shehri.

Kapten Arab Saudi, Al-Dawsari yang menjaringkan gol kemenangan semasa menentang Argentina bagaimanapun gagal mengambil peluang itu apabila sepakan penaltinya dihalang Szczesny.

Poland hampir menggandakan kelebihan gol pada separuh masa kedua apabila Arkadiusz Milik menggegarkan palang dengan tandukan manakala tandukan Lewandowski pula terkena tiang. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya