KOTA TINGGI: Pendedahan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa parti itu akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dibangkitkan kerana parti itu tahu BN akan menang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak dilihat cuba memposisikan parti masing-masing supaya mahu BN melamar mereka.
“Saya percaya semua itu dibangkitkan kerana mereka tengok BN akan menang. Jadi semua sudah cuba memposisikan parti masing-masing nak supaya agaknya BN melamar mereka.
“Pokoknya, mungkin bacaan mereka menjangkakan BN menang dan memang pun BN akan menang,” katanya selapas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Veteran UMNO Kota Tinggi di Bilik Gerakan Felda Pasak di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Takiyuddin memaklumkan, Pas tidak menolak kemungkinan PN akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian dalam PRU15.
Takiyuddin berkata, PN tidak akan sesekali membentuk gabungan dengan Pakatan Harapan (PH) untuk menguasai Putrajaya.
Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi tujuan membentuk kerajaan selepas PRU15.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled, calon BN di Parlimen Kota Tinggi menyelar kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain yang mengatakan beliau tidak membuat apa-apa untuk daerah Kota Tinggi sepanjang menjadi Menteri Besar.
“Empat tahun dia jadi wakil kerajaan, saya last jadi Menteri Besar tahun 2018 tetapi lepas 2018 dia (Rasman) masih wakil rakyat. Takkanlah nak kata salah saya. Empat tahun dia berada bawah parti dia lompat.
“Jadi janganlah memperkecilkan orang Kota Tinggi boleh putar belit kenyataan-kenyataan, orang Kota Tinggi semua pandai-pandai,” katanya.- UTUSAN