JOHOR BAHRU: Kepemimpinan PKR Johor akur apabila kehilangan kerusi Parlimen Pontian kepada rakan gabungannya, DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pada awalnya beliau turut terkejut dengan keputusan yang telah dibuat pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).
Walaupun pertukaran itu mengejutkan, beliau tetap meminta supaya akar umbi PKR memberi sokongan kepada calon DAP, Shazwan Zainal Abidin.
“Ini menunjukkan disiplin PH, kita akur. Saya akui pertukaran ini agak mengejutkan sedikit, tetapi kita percaya dan yakin dengan keputusan pimpinan tertinggi yang telah dibuat.
“Saya juga telah memohon akar umbi terima dan beri sokongan. Ada hikmah di sebaliknya, bukan peluang kita tetapi peluang untuk calon lain.
“Kalau kita tidak boleh bersama menyokong sama-sama parti, kita akan tertewas kepada musuh kita,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis memperkenalkan 26 calon PH Johor oleh Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub, di sini hari ini.
Sebelum ini, pimpinan tertinggi PH mengumumkan Mohd. Sayfaul Ariffin Abdul Karim sebagai calon di Parlimen Pontian.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, DAP memperoleh peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Pontian daripada PKR pada PRU15.
Keputusan itu dibuat selepas perbincangan lanjut antara kedua-dua parti itu pada Sabtu lalu.
Siew Fook berkata, Pontian kini adalah sebahagian daripada 55 kerusi Parlimen yang akan direbut DAP pada PRU15 selain beberapa kerusi kawasan Melayu, iaitu Mersing dan Ayer Hitam.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, Parti Amanah Negara (Amanah) turut akur dengan keputusan pimpinan parti yang memberikan kerusi Tanjung Piai kepada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Jelasnya, situasi ini seperti di kerusi Parlimen Pontian membabitkan PKR dan DAP.
“Tiada pertikaian lagi, itu displin kita, kita boleh bincang, berkeras dengan perjuangan, bila pemimpin putuskan kita akur walaupun ada ketidakpuasan hati,” katanya. –UTUSAN