GUA MUSANG: Seorang penjual daun ketum bertindak merempuh seorang anggota polis apabila motosikalnya ditahan di Jalan Kampung Batu Papan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek yang berusia 27 tahun bagaimanapun berjaya ditahan selepas dia terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya tidak jauh daripada lokasi tersebut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota polis melihat sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang suspek dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan tugasan Ronda Cegah Jenayah.
Menurutnya, semasa polis menahan suspek bagi tujuan pemeriksaan, lelaki itu cuba untuk melarikan diri dengan memecut laju motosikalnya.
“Insiden itu menyebabkan motosikalnya merempuh salah seorang anggota polis sebelum terbabas. Suspek yang terjatuh tidak jauh dari lokasi kejadian telah ditahan anggota polis.
“Anggota polis yang dilanggar mengalami kecederaan kaki kiri dan calar pada bahagian belakang badan akibat terjatuh di atas jalan. Suspek bagaimanapun hanya cedera ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan di dalam raga motosikal itu telah menjumpai satu plastik berisi daun ketum seberat satu kilogram.
Katanya, semakan mendapati, suspek mempunyai lapan rekod lampau berkait kes dadah dan tiga kes melibatkan Seksyen (30) (3) Akta Racun.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dipercayai bekerja sebagai penjual ketum,” katanya.
Tambah Muhamad Zaki, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 353 kanun sama dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. –UTUSAN