REMBAU: Seperti pengundi masyarakat India, pengundi kaum Cina juga dilihat semakin responsif terhadap Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini berbanding pilihan raya umum lalu.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara tersebut dilihat hasil penelitian sejak beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini sehingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Melaka serta Johor, selain kajian sikap yang dilaksanakan.
“Bukan sahaja di sini (Kota), saya pergi ke pekan Rantau, Paroi jelas sekali sikap mesra itu ada. Ini merupakan petanda yang baik, pada PRU14 (2018), mereka (pengundi Cina) rasa malu, tidak mahu jumpa kami (BN).
“Tetapi kali ini, mereka semua menyambut dengan baik, keluar dan bertemu kami. Masyarakat Cina ni, mereka menggunakan kewarasan, mana yang boleh memberikan kemakmuran ekonomi itulah mereka mahukan. Mereka lebih kepada faktor ekonomi, mereka ini pengundi ekonomi, faktor ekonomi yang mendorong mereka yang memilih ke arah mana.
“Mereka jelas sekali nampak semasa BN, ekonomi bertumbuh dengan baik dan mereka bersama-sama dapat menyertai kegiatan ekonomi serta membina kehidupan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra di pekan Kota, di sini, pagi tadi.
Beliau yang juga calon BN di Parlimen Rembau, sebelum ini berkata, trend peratusan sokongan pengundi masyarakat India BN dilihat semakin meningkat dan ia diyakini mampu diterjemahkan pula pada hari pengundian PRU15 pada 19 November nanti.
Mohamad sementara itu menjelaskan, penerimaan mesra masyarakat Cina itu diakui melibatkan mereka yang bukannya penyokong tegar mana-mana parti politik.
“Pengundi (Cina) ini banyak yang tidak berparti, tidak berparti ni kadang-kadang yang membuat keputusan yang mengalahkan atau memenangkan satu-satu parti,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu menambah, pengundi Cina juga sudah menyedari bahawa mereka tidak mendapat apa-apa yang diharapkan daripada Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir sebelum ini
“Kebanyakkan daripada mereka adalah peniaga, semasa BN mentadbir, ekonomi diuruskan dengan baik. Walaupun krisis kewangan, Malaysia tidak terasa sangat pada tahun 2008 dan 2009.
“Bank muflis, seluruh negara hadapi masalah. Orang Malaysia tidak rasa sangat sebab ada subsidi, sistem buffer, orang tidak terasa sangat. Mereka boleh baca dan mereka boleh lihat parti mana boleh mengurus kerajaan dan negara yang baik,” katanya.-UTUSAN.