Pemuda UMNO lapor polis poster hina Ahmad Said

Pemuda UMNO lapor polis poster hina Ahmad Said

HASHIM Ali (tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat berhubung poster yang menghina Ahmad Said di Kemaman, Terengganu - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Pemuda UMNO Bahagian Kemaman hari ini membuat satu laporan polis berhubung tindakan individu yang tidak bertanggungjawab menaikkan poster menghina Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. 

Ketua Pemudanya, Hashim Ali berkata, laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Menurutnya, tindakan individu yang dipercayai parti pihak lawan menaikkan poster menyerang peribadi Ahmad yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu dianggap melampau dan tidak bermoral. 

“Kita menerima maklumat berhubung beberapa poster memalukan calon BN yang juga bekas menteri besar sejak Jumaat lalu. 

“Kita dah buang beberapa poster tersebut di Kampung Chabang, Kerteh, namun masih ada lagi poster yang dinaikkan hingga hari ini dan yang terbaru di Plaza Tol Chukai. Kita anggap ini perbuatan melampau dan satu penghinaan,” katanya ketika ditemui di sini. 

Hashim berkata, beliau berharap tindakan tegas terhadap individu tersebut dapat diambil bagi mengelak kejadian sama berulang. 

Poster yang bertulis ‘Pemimpin Umno Cabul Kehormatan’ dan ‘Cekor’ serta gambar Ahmad turut viral di aplikasi WhatsApp. 

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui berkata, tindakan pihak lawan menyerang peribadi dianggap sebagai memalukan dan cara terdesak untuk meraih undi. 

“Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Rakyat boleh menilai sendiri apa yang diperjuangkan mereka. Saya sememangnya bersedia dan tidak gentar dengan serangan politik sebegini,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan siasatan terperinci berhubung perkara itu sedang dilakukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya