KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berhasrat menutup operasi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana menanggung hutang terlalu banyak.
Pemilik portal The Edge, Tan Sri Tong Kooi Ong berkata, perkara itu dimaklumkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu ketika pertemuan lewat malam di kediaman beliau di Langgak duta di sini pada 15 Mac 2015.
“Selepas saya memberikan pandangan dan penjelasan mengenai 1MDB berdasarkan maklumat yang ada pada saya, Najib kemudian beritahu saya dia nak tutup 1MDB.
“Saya beritahu dia, kalau nak tutup pun, seseorang perlu dipertanggungjawabkan dan orang itu ialah Jho Low. Bila saya cakap sebegitu, Najib hanya berdiam diri, tiba-tiba bangun dan terus menuju ke pintu dan buka pintu untuk saya keluar,” katanya.
Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudian mencadangkan kepadanya tindakan bekas Perdana Menteri yang membuka pintu ketika itu sebenarnya cara Najib untuk menamatkan perbualan tersebut.
Muhammad Shafee: Awak kata awak `ditunjukkan ke pintu’ oleh Najib selepas penerangan awak. Tetapi sebenarnya dia (Najib) berjalan dengan awak ke pintu.
Kooi Ong: Saya harap dia buat demikian.
Muhammad Shafee: Mungkin awak sebenarnya sensitif bila awak tidak mendapat respon yang sepatutnya daripada Najib selepas penerangan awak. Najib sebenarnya berjalan dengan awak ke pintu untuk mengakhiri perbualan itu. Najib pun selalu hantar saya ke pintu selepas perjumpaan.
Kooi Ong: Pada pandangan saya, tindakannya (pada malam itu) tidak seperti yang awak gambarkan. Saya sebenarnya terkejut dengan tindakannya yang tiba-tiba berdiri dan terus buka pintu.
PETROSAUDI
Terdahulu, disoal mengenai maklumat-maklumat yang diperoleh daripada bekas pegawai PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo, saksi pendakwaan ke-43 itu memberitahu, beliau tidak pernah membayar untuk mendapatkan sebarang maklumat mengenai PetroSaudi International Ltd (PSI).
Kooi Ong juga menafikan bahawa maklumat-maklumat yang diperoleh itu sebenarnya dicuri daripada syarikat terbabit.
“Semasa saya disaman oleh Justo di Singapura, peguam saya di sana berulang kali menulis surat kepada PetroSaudi sama ada mereka ingin menjadi pihak dalam saman tersebut kerana maklumat tersebut dikatakan telah dicuri daripada mereka.
“PetroSaudi berulang kali menolak menunjukkan bahawa maklumat tersebut tidak dicuri. Bagaimana hendak dikatakan sesuatu itu dicuri sedangkan pemiliknya tidak pernah membuat laporan berlakunya perkata itu,” katanya.
Kooi Ong berkata demikian dalam perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Prosiding yang didengar Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung petang ini.- UTUSAN