PONTIAN: Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan perlu dirunding dengan presiden parti supaya mereka yang dilantik kelak mengikut hierarki dalam parti berkenaan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu bagi memastikan mereka yang dilantik mewakili suara parti, bukan individu tertentu yang menjadi suara kepada parti tersebut.
Dakwanya, situasi itu berlaku apabila Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dibawa berunding semasa pembentukan kerajaan oleh Tan Sri Muhyiddn Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Dalam ada juga keadaan, Presiden dan Timbalan Presiden perlu dibawa dalam perbincangan bagi memilih seorang anggota Kabinet supaya mereka benar-benar mewakili suara parti.
“Ini yang berlaku sebelum ini, pimpinan tertinggi parti seperti diketepikan dalam soal pemilihan anggota Kabinet, soal hierarki atau kekananan dalam parti tidak diambil kira,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Dailog Bersama Ahli Parlimen Pontian di Citra Sri Pinang, Benut hari ini.
Pada 24 November lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berharap situasi tersebut tidak berlaku apabila Kabinet Kerajaan Perpaduan dibentuk pada minggu depan dengan mengambil kira perkara tersebut.
“Terserahlah kepada Presiden dan Timbalan Presiden untuk memilih anggota Kabinet bagi mewakili UMNO dan BN apabila diminta oleh Perdana Menteri kelak,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berpendapat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu meletakkan jawatan susulan prestasi buruk gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, semua pihak termasuk pucuk pimpinan parti, bahagian dan cawangan perlu muhasabah diri dan merapatkan kembali hubungan.
“Kalau hendak suruh letak jawatan, ramai yang perlu letak jawatan termasuklah ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang kalah teruk, iaitu mencecah 7,000 PDM seluruh negara.
“Selain itu, pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN negeri, ketua pemuda, ketua wanita dan ketua puteri yang tidak dapat pengundi muda juga perlu letak jawatan.
“Maka berapa ramai yang perlu letak jawatan? Justeru, jangan ada sesiapa pun yang letak jawatan, sebaliknya kita semua perlu muhasabah apa yang telah berlaku,” katanya. –UTUSAN