Pembangunan Port Dickson perlu distruktur semula- Ahmad Idham - Utusan Malaysia

Pembangunan Port Dickson perlu distruktur semula- Ahmad Idham

AHMAD Idham Ahmad Nadzri ketika bertemu orang ramai di Kampung Si Rusa, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pembangunan di daerah ini perlu distruktur semula sebagai sebuah lokasi pelancongan utama agar setanding dengan Pulau Langkawi terkenal di seluruh dunia.

Calon Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) di Parlimen Port Dickson, Dr. Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, beliau mengenal pasti tiga masalah utama yang berlaku di daerah ini dan antaranya adalah mengenai pemilikan tanah dan projek pembangunan terbengkalai. 

“Kemudahan infrastruktur di Port Dickson juga yang saya lihat amat menyedihkan. Saya juga mahu melihat Port Dickson sentiasa menjadi lokasi pilihan penggambaran filem ataupun drama.

“Saya orang seni dan saya akan menggunakan kelebihan itu untuk menjayakan impian berkenaan. Saya juga mempunyai hubungan yang baik dengan agensi perfileman di Malaysia serta rakan-rakan dalam industri hiburan dan impian ini tidak mustahil.

“Saya akan pastikan Port Dickson akan menjadi tarikan pelancong yang setaraf dengan Pulau Langkawi yang mampu menarik pelancong dari luar negara. Apa yang penting adalah selesaikan isu utama terlebih dahulu,” jelasnya kepada pemberita ketika bertemu orang ramai di sebuah restoran di Kampung Si Rusa di sini hari ini.

Jelas Ahmad Idham, beliau juga mengenal pasti antara isu yang menjadi kontroversi di pantai peranginan di daerah ini adalah berkenaan pemasangan ‘khemah biru’ yang mengganggu pengunjung untuk beriadah terutama di Pantai Telok Kemang.

“Selepas berjumpa sendiri dengan pengusaha khemah itu dan saya lihat sendiri permintaan khemah berkenaan memang tinggi dari pengunjung, namun ada yang tidak berpuas hati.

“Saya juga sudah berjumpa dengan pihak berkuasa tempatan dan sebenarnya isu ini boleh diselesaikan. Semua isu dan aduan rakyat di Port Dickson ini memang boleh diselesaikan jika ada pemimpin yang betul,” jelasnya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini, Parlimen Port Dickson juga akan ditandingi oleh calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Aminuddin Harun, calon Barisan Nasional (BN), Datuk P.Kamalanathan, calon Perikatan Nasional (PN) Rafiei Mustapha dan calon Bebas, Abdul Rani Kulup Abdullah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya