DOHA: Dua perlawanan dilalui Mexico setakat ini sudah cukup untuk menyimpulkan nasib pasukan itu dilihat sukar untuk ke babak seterusnya.
Selepas tewas 2-0 kepada Argentina, Mexico kini menghuni tangga tercorot Kumpulan C akan menentang Arab Saudi dalam aksi terakhir mereka dengan harapan menang dengan jaringan gol yang banyak.
Pada masa sama, Mexico juga terpaksa bergantung kepada keputusan perlawanan antara Argentina menentang Poland.
“Kami masih ada harapan dan peluang. Kami akan bekerja keras untuk mendapatkannya. Kalau peluang itu hanya satu peratus pun kami akan cuba (cari kemenangan),” kata penyerangnya, Hirving Lozano.
Walaupun ramalan mengatakan Mexico akan menang pada perlawanan itu, namun masalah utama yang menghantui kesebelasannya ialah menjaringkan gol memandangkan tiada yang berjaya setakat ini.
Daripada 15 percubaan, hanya lima dianggap tepat ke gawang gol lawan, malah pasukan itu lebih gemar bermain corak bertahan semasa menentang Argentina tempoh hari.
Bagaimanapun, penyerang Henry Martin berkata, Mexico mempunyai peluang untuk mencipta kemenangan pertama selepas mengambil kira perlawanan menentang Argentina yang mana mereka mampu mengekang lawan daripada menjaringkan gol sepanjang babak pertama berlangsung.
Kenyataan Martin bagaimanapun tidak mengendurkan kemarahan penyokong mereka apabila serangan yang tumpul tidak memberikan kelebihan buat pasukan itu.
Jurulatih Mexico, Gerardo Martino mengakui anak-anak buahnya berdepan dengan kemelut untuk menjaringkan gol dan sukar bertahan.
Mexico menguasai permainan semasa menentang Poland tetapi berakhir dengan seri tanpa jaringan, begitu juga semasa melayan Argentina yang diharap mencipta kemenangan tetapi taktik yang digunakan memakan diri.
Mengulas pertemuan dengan Arab Saudi, Martino berkata, beliau akan merombak pemain dan taktik kerana pasukan itu memerlukan jaringan gol sebanyak mungkin untuk memberi kelebihan layak ke saingan kalah mati. – Agensi/UTUSAN