KUALA KRAI: Seorang wanita yang merupakan pekerja kilang maut manakala rakannya cedera selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki mereka merempuh bahagian sisi kanan belakang sebuah lori di KM61, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Kuala Krai pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Fairuz Zamry, 24, yang memandu kereta tersebut maut di lokasi akibat kecederaan parah manakala rakannya Nur Ain Sofea Zakaria, 21, mengalami cedera di leher, luka di kaki dan tangan kanan.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke rumah keluarga angkat di Kampung Pahi sementara lori jenis Mitsubishi Fuso yang sedang menarik lori jenis Isuzu dari arah Padang Sembilan menghala ke bengkel di Kampung Keroh.
“Setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu oleh mangsa yang maut itu hilang kawalan lalu terbabas dan kemudian masuk ke laluan bertentangan seterusnya melanggar bahagian sisi kanan lori yang sedang ditarik itu.
“Kesan pelanggaran itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang kereta tersebut mengalami kecederaan di leher, luka-luka di tangan dan kaki kanan. Bagaimanapun, pemandu lori yang berusia 43 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Suzaimi memberitahu, jenazah mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk bedah siasat manakala penumpang yang cedera turut mendapat rawatan di tempat yang sama.
Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu di minta supaya menyalurkan segera kepada polis untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987,” ujarnya. –UTUSAN